Walaupun kini syawal hampir menutup lembaran, kenangan Aidilfitri tahun ini masih segar dalam ingatan. Saat yang dinantikan anak-anak kecil untuk bergembira. Bak kata budak-budak "masa ni la nak kumpul duit raya banyak-banyak". Girangnya hati mereka. Tidak terkecuali juga golongan dewasa yang sanggup berbelanja untuk melihat segala yang baru pada Hari Raya. Melihat segala persiapan yang dilakukan tidak terkurang, bersama-sama mereka mengucapkan syukur. Tanda nikmat daripada yang Maha Esa. Saat indah ini tidak terkecuali dirasai diriku. Seminggu sebelum syawal aku sudah menjejaki kampung halaman. Begitu juga dengan rakan sealiran yang lain. Masing-masing tidak sabar untuk berjumpa ayah bonda yang tercinta. Hanya cerita Raya sahaja menjadi perbualan di kampus. Melihat gelagat rakan-rakan seperti tidak sabar-sabar menyambut Aidilfitri, terasa juga kesannya pada diri aku.
Kata orang, tidak lengkap rasanya kalau menyambut Aidilfitri tanpa berpuasa di kampung. Begitu indah rupanya merayakan Aidilfitri di kampung halaman bersama keluarga dan sahabat handai. Kemeriahan sudah dapat dirasakan seminggu sebelum takbir syawal. Kaum lelaki berhempas pulas masuk ke hutan semak mencari buluh lemang. Walaupun terasa penat kerana masing-masing sedang berpuasa, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat. Hah! Begitu kuat rupanya semangat nak beraya. Kaum wanita pula tidak kurang menunjukkan kesibukan dengan membuat kuih dan biskut raya. Mereka saling berkongsi penat.
Tapi dalam menyambut kegembiraan jangan pula kita lupa bahawa kita bukan bergembira semata-mata. Kita Sebenarnya menyambut hari kemenangan kita. Kemenangan diri setelah sebulan beperang dengan nafsu makan dan kesebaran dalam mencari redha Ilahi. Kemenangan yang hanya dirasai orang mukmin sejati yang ikhlas. Sambutlah kemenangan ini dengan penuh kegembiraan.


No comments:
Post a Comment