PANTUN CINTA
Gemersik Mendayu Buluh Perindu,
Asyik Bunyinya Dimain Orang,
Sedih Pilu Mengenang Rindu,
Mengenang Kekasih Di Rantau Orang.
Menguning Padi Di Tanah Bendang,
Diketam Orang Berhati-hati,
Tiada Lain Yang Dipandang,
Cuma Seorang Terpahat Di Hati.
Mengambang Bulan Tinggi Di Awan,
Memancar Cahaya Segenap Penjuru,
Gundah Gulana Hati Yang Rawan,
Kerana Bahaya Hati Cemburu.
Anyam Ketupat Di Bulan Puasa,
Anyam Pula Berbucu-bucu,
Kasih Jitu Sepanjang Masa,
Semoga Diteladani Anak dan Cucu.
PANTUN JENAKA
Sorong Papan Tertarik Gergaji,
Turun Kelaut Tertangkap Buntal,
Sebelum Berkahwin Setia Berjanji,
Kenapa Dah Kahwin Masih Menggatal.
Ditiup Angin Pohon Semalu,
Kuncup Daunnya Bila Berlaga,
Bercakap Melayu Kononnya Malu,
Belacan Setongkol Di Bedal Juga.
Tanah Singapura Dilanggar Todak,
Kapal karam di Tanjung Peringin,
Orang Tua Beristerikan Budak,
Macam Beruk Mendapat Cermin.
Pantun merupakan puisi yang indah jika dihayati dengan penuh perasaan. Pantun akan menjadi lagi indah jika pembaca dapat memahami lapisan makna yang ingin disampaikan. "Pantun" warisan asli khazanah Melayu. Walaupun bahasanya mudah dan ringan, tetapi sarat dengan makna dan pengajaran.Semakin hari semakin ia tidak dikenali oleh anak muda. Jangan biarkan khazanah ini ditenggelamkan oleh bangsamu sendiri. Cukuplah kemodenan yang melakukannya.

No comments:
Post a Comment