Friday, October 8, 2010

Yang mana diri kita..?


     Selalu didengar ungkapan "jadilah seperti lilin membakar diri demi menerangi orang lain. Ungkapan ini agak sinonim dengan pengorbanan. Tapi haruskah kita mengorbankan diri demi orang lain, mengapa? Jika lilin ini sudah habis ada lagikah lilin lain akan menggantikannya? Mungkin mudah untuk mencari lilin yang baru? Jika ada lilin yang baru sekalipun, masih samakah dengan lilin yang telah cair itu. Mampukah lilin baru itu memberi cahaya yang sama dengan lilin yang lama?


   Amat jarang sekali didengar ungkapan "hiduplah seperti lentera,  dapat memberi sinaran kepada orang di sekeliling". Hidup seperti lentera lebih baik mungkin. Tidak perlu mengorbankan diri untuk menyinari yang lain. Tetap memberi cahaya sinaran kepada ruang di sebelahnya. Tapi mungkin hanya sedikit pengorbanan. Tapi jika pengorbanan yang sedikit itu lebih bernas dan memberi impak yang berkesan, alangkah bagusnya? Lentera tetap mati tetapi asasnya tetap sama. Apinya hanya terpadam seketika. Apabila minyak diisi semula, ia terus bangkit memberi bercahaya.

Thursday, October 7, 2010

Suatu Permulaan (Akedemi Sastera 2010)

DBP, badan yang masih gagah menerbitkan karya kreatif mahupun ilmiah. Turut juga mengadakan sayembara bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam penulisan.
       Pada 30 September lepas, warga Persuratan Melayu UKM tahun 2 seharian bertapa di DBP. Sebahagian besar merasa teruja berada di sana. Manakan tidak, ia pengalaman pertama menjejaki bangunan yang terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur itu. Kehadiran kami hari itu bukanlah untuk membuat lawatan ke DBP sebagaimana lawatan sekolah tapi kehadiran kami membawa satu semangat. Semangat untuk melihat bagaimana bakat-bakat penulis muda berentap di Akedemi Sastera. Kebanyakan peserta mewakili IPTA seluruh Malaysia.  Menghujahkan idea-idea yang bernas dan ilmiah hasil kajian mereka. Tidak terkecuali wakil Persuratan Melayu tahun 2 dan 3 yang turut sama mengetengahkan bakat mereka. 
         Walaupun kedua-dua wakil UKM gagal ke peringkat akhir namun kami tetap berbangga dengan keberanian mereka untuk bersaing dengan peserta lain. Asam garam bertanding, ada kalah dan ada yang menang. Bagi kami yang kalah bukannya gagal tetapi hanya tidak terpilih kep peringkat seterusnya. Terpancar rasa kagum dan kegembiraan pada wajah mentor wakil UKM Che Abdullah Che Ya yang juga selaku pensyarah Persuratan Melayu UKM. Pulang pada petangnya bersama ilmu dan pengalaman sesungguhnya amat bermakna.

Dari kiri sebelah atas, Prof. Madya Dr. Misran Rokimin selaku juri Akedemi Sastera juga pensyarah Persuratan Melayu UKM. Dua dari kiri sebelah atas, Wan Mohd Syazwan bin Wan Ngah, peserta yang mewakili tahun 2. Paling Bawah dan ditengah-tengah Che Abdullah Che Ya selaku mentor dan pensyarah Persuratan Melayu UKM.
Terpancar senyuman pada wajah-wajah warga Persuratan. Syabas



Sekadar Mengisi Masa Sanggang

PANTUN CINTA

Gemersik Mendayu Buluh Perindu,
Asyik Bunyinya Dimain Orang,
Sedih Pilu Mengenang Rindu,
Mengenang Kekasih Di Rantau Orang.

Menguning Padi Di Tanah Bendang,
Diketam Orang Berhati-hati,
Tiada Lain Yang Dipandang,
Cuma Seorang Terpahat Di Hati.

Mengambang Bulan Tinggi Di Awan,
Memancar Cahaya Segenap Penjuru,
Gundah Gulana Hati Yang Rawan,
Kerana Bahaya Hati Cemburu.

Anyam Ketupat Di Bulan Puasa,
Anyam Pula Berbucu-bucu,
Kasih Jitu Sepanjang Masa,
Semoga Diteladani Anak dan Cucu.

PANTUN JENAKA

Sorong Papan Tertarik Gergaji,
Turun Kelaut Tertangkap Buntal,
Sebelum Berkahwin Setia Berjanji,
Kenapa Dah Kahwin Masih Menggatal.

Ditiup Angin Pohon Semalu,
Kuncup Daunnya Bila Berlaga,
Bercakap Melayu Kononnya Malu,
Belacan Setongkol Di Bedal Juga.

Tanah Singapura Dilanggar Todak,
Kapal karam di Tanjung Peringin,
Orang Tua Beristerikan Budak,
Macam Beruk Mendapat Cermin.


Pantun merupakan puisi yang indah jika dihayati dengan penuh perasaan. Pantun akan menjadi lagi indah jika pembaca dapat memahami lapisan makna yang ingin disampaikan. "Pantun" warisan asli khazanah Melayu. Walaupun bahasanya mudah dan ringan, tetapi sarat dengan makna dan pengajaran.Semakin hari semakin ia tidak dikenali oleh anak muda. Jangan biarkan khazanah ini ditenggelamkan oleh bangsamu sendiri. Cukuplah kemodenan yang melakukannya.

.... dan Pasti Akan Kembali

Tiada yang kekal. Itulah janji Allah kepada setiap makhluknya. Manusia, tumbuhan, binatang semuanya tidak dapat lari daripada kematian. Maut akan datang menyusuri kehidupan kita bila tiba masanya. "Apabila tiba saat kematian, ia akan datang padamu tanpa tertangguh dan terlebih walau sesaat pun". Itulah janji Allah s.w.t kepada umat Islam. Walaupun bersedia atau tidak, yang pasti tetap pasti. 
         Suasana sedih pasti akan mengiringi kematian. Sudah menjadi lumrah kehidupan. Yang kecil yang besar, yang tua dan yang muda akan menitikkan air mata mengiringi perpisahan terakhir. Pengalaman sebegini tidak akan terlepas daripada semua orang termasuk aku sendiri.
         Perpisahan terakhir dengan ayahanda tersayang kemas menjadi memori yang tentunya takkan terpadam. 10 Syawal menjadi tarikh bersejarah kepada aku sekeluarga. Pagi itu aku mendapat panggilan yang cukup menggelisahkan hati. "wari ! abah excident, masih di hospital sebab koma, keadaan masih tak stabil". kata-kata yang membuat dada aku makin sesak. Petangnya, kembalilah ayahanda pada Maha Pencipta. Saat jasadnya tidak bernyawa, aku masih berada dalam perjalanan bersama linangan air mata. Mengenang detik bersama-sama makin sebak dada. Namun sudah suratan takdir.Setiap manusia pasti akan kembali menemui pencipta.Yang pergi takkan kembali lagi. Hanya doa dan ayat suci Al-Quran menjadi iringan kepada yang tersayang. Al-Fatihah

Menyambut Kemenangan

 
Walaupun kini syawal hampir menutup lembaran, kenangan Aidilfitri tahun ini masih segar dalam ingatan. Saat yang dinantikan anak-anak kecil untuk bergembira. Bak kata budak-budak "masa ni la nak kumpul duit raya banyak-banyak". Girangnya hati mereka. Tidak terkecuali juga golongan dewasa yang sanggup berbelanja untuk melihat segala yang baru pada Hari Raya. Melihat segala persiapan yang dilakukan tidak terkurang, bersama-sama mereka mengucapkan syukur. Tanda nikmat daripada yang Maha Esa. Saat indah ini tidak terkecuali dirasai diriku. Seminggu sebelum syawal aku sudah menjejaki kampung halaman. Begitu juga dengan rakan sealiran yang lain. Masing-masing tidak sabar untuk berjumpa ayah bonda yang tercinta. Hanya cerita Raya sahaja menjadi perbualan di kampus. Melihat gelagat rakan-rakan seperti tidak sabar-sabar menyambut Aidilfitri, terasa juga kesannya pada diri aku. 
           Kata orang, tidak lengkap rasanya kalau menyambut Aidilfitri tanpa berpuasa di kampung. Begitu indah rupanya merayakan Aidilfitri di kampung halaman bersama keluarga dan sahabat handai. Kemeriahan sudah dapat dirasakan seminggu sebelum takbir syawal. Kaum lelaki berhempas pulas masuk ke hutan semak mencari buluh lemang. Walaupun terasa penat kerana masing-masing sedang berpuasa, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat. Hah! Begitu kuat rupanya semangat nak beraya. Kaum wanita pula tidak kurang menunjukkan kesibukan dengan membuat kuih dan biskut raya. Mereka saling berkongsi penat. 
          Tapi dalam menyambut kegembiraan jangan pula kita lupa bahawa kita bukan bergembira semata-mata. Kita Sebenarnya menyambut hari kemenangan kita. Kemenangan diri setelah sebulan beperang dengan nafsu makan dan kesebaran dalam mencari redha Ilahi. Kemenangan yang hanya dirasai orang mukmin sejati yang ikhlas. Sambutlah kemenangan ini dengan penuh kegembiraan.